UNIVERSITI Tunku Abdul Rahman (UTAR) sedang berusaha mengumpul dana bagi pembinaan Hospital UTAR yang terletak di Kampar, Perak.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata hospital itu akan menawarkan perkhidmatan perubatan moden dan tradisional Cina (TCM) dengan kos berpatutan untuk manfaat orang ramai tanpa mengira agama dan kaum.
“Dalam masa sama, ia juga bakal melahirkan ramai pakar dalam kalangan anak-anak tempatan khusus dalam bidang perubatan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan replika cek RM100,000 daripada Innoprise Plantations Berhad kepada Yayasan Pendidikan UTAR semalam.
Ia disampaikan Pengarah Urusan Innoprise Plantations Berhad, William AK Tan kepada Presiden UTAR, Prof Dr Ewe Hong Tat di Pejabat Presiden MCA.
Ka Siong turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada Innoprise Plantations Berhad atas sumbangan tersebut.
“Saya yakin ia akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh UTAR bagi menunaikan tanggungjawab membangunkan institusi pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta negara secara keseluruhannya,” katanya. – Malaysiapost

