Tarian separuh bogel: Selepas Cik Lala, beberapa lagi individu akan ditahan

0
2

POLIS akan menahan beberapa lagi individu berhubung insiden sekumpulan lelaki berperwatakan wanita menari separuh bogel dan membakar bunga api pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sebuah unit di I-City, Shah Alam Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya menahan individu terbabit termasuk penganjur yang juga seorang selebriti Instagram dikenali sebagai ‘Cik Lala’ semalam.

“Dia dilepaskan dengan jaminan polis hari ini. Bagaimanapun, polis sedang mengumpul segala keterangan dan tangkapan berperingkat akan dilakukan kerana ada antara penari tersebut datang dari luar kawasan,” katanya memetik laporan Bernama.

Arjunaidi berkata, kertas siasatan akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya sebaik semua siasatan dan rakaman percakapan saksi serta suspek selesai.

Sabtu lalu, polis menerima laporan daripada pengurus Badan Pengurusan Bersama (JMB) I-Soho I-City mengenai aktiviti yang menjatuhkan imej I-City sebagai tarikan pelancong di Selangor.

Aktiviti diiringi muzik kuat itu dilakukan di kawasan awam berhampiran rumah penduduk dan Cik Lala adalah individu yang menyewa unit terbabit pada harga RM4,000 bagi menganjurkan majlis tersebut dengan menjemput kira-kira 50 orang.

Arjunaidi juga berkata kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Nur Syuhada di talian 017-6942 736. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here