DAP menafikan Ahli Parlimen parti itu turut menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke, berkata sekiranya betul Muhyiddin mempunyai cukup sokongan, pastinya Ahli Parlimen Pagoh itu sudah mengangkat sumpah.
“Kalau betul, dia dah patut dah angkat sumpah jadi PM kan? Jadi itu tentulah tidak betul.
“Kamu fikir DAP akan sokong Muhyiddin ke?” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.
Terdahulu, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa Muhyiddin dua bulan lalu memberitahunya mempunyai sokongan 119 Ahli Parlimen selepas berunding dengan Anthony dan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, beliau menolak ajakan untuk menyokong Muhyiddin.
“Saya beritahu dia (Muhyiddin) jika anda mempunyai nombor, anda teruskan, saya tidak akan mengikut anda,” katanya dalam acara bertemu orang ramai di di Sandakan, Ahad lalu.
Sementara itu, dalam sidang media, Mohd Shafie berkata, gabungan parti politik yang ada ketika ini hanya untuk memuaskan nafsu pemimpin.
“Semata-mata digabungkan untuk mencukupkan jumlah mereka memerintah kononnya.
“Tapi kita sedar dan tahu ini merupakan hanya landasan untuk hanya kepentingan mereka,” katanya. – Malaysiapost

