PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua kementerian mempercepatkan projek pembangunan untuk memberi gesan berganda bagi menggerakkan ekonomi akar umbi.
Gesaan itu dibuat Perdana Menteri menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara yang dipengerusikannya, hari ini.
“Saya meminta Kementerian-Kementerian mempercepatkan projek pembangunan.
“Projek-projek pembangunan amat penting kerana ia memberikan kesan berganda khususnya untuk menggerakkan ekonomi akar umbi,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Perdana Menteri, di bawah Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan asas.
“Dalam masa yang sama, kerajaan memberikan perhatian serius kepada kenaikan harga bahan binaan.
“Intervensi segera akan diambil oleh agensi-agensi terbabit bagi mengawal kenaikan harga bahan binaan kerana ia memberi kesan kepada projek-projek pembangunan,” katanya. – Malaysiapost

