KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi, petrol RON95 dan diesel dalam dua serbuan serentak semalam di sebuah stesen minyak di Kangar dan sebuah stor di Kampung Kolam, Padang Besar.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis Mohamad Amir Abdullah, berkata serbuan jam 12.45 tengah hari itu adalah hasil daripada aduan orang awam dan risikan yang dilakukan sejak beberapa minggu lalu oleh anggota penguatkuasa KPDNHEP Perlis.
Menurutnya, hasil serbuan di dua lokasi berkenaan berjaya menyita 2,420 liter petrol RON95 dan 500 liter diesel bersubsidi, selain dua kenderaan, tong minyak, pam, dokumen perniagaan dan lain-lain lagi, yang nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM19,056.
“Ketika serbuan pertama dilakukan di stesen minyak berkenaan, terdapat dua kenderaan iaitu kereta Proton Iswara dan Waja sedang mengisi RON95 serta diesel dalam ‘jerry can’t yang diletakkan dalam kedua-dua kereta berkenaan dengan menggunakan dua pam bersingan.
“Hasil pemeriksaan awal terdapat beberapa jery can yang disyaki mengandungi RON95 dan diesel dalam kenderaan berkenaan yang diisi oleh dua lelaki tempatan dan siasatan lanjut mendapati pembayaran bahan api berkenaan dibuat secara tunai di stesen minyak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang mengisi minyak terbabit dan pengurus stesen minyak berkenaan kemudian ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, serbuan kedua dilakukan di stor tanpa nama pada jam 1 tengah hari dimana premis berkenaan dipercayai dijadikan tempat pengumpulan minyak RON95 dan diesel bersubsidi untuk dijual kepada kenderaan asing.
“Beberapa tong drum ditemui di stor berkenaan disyaki berisi RON95 dan siasatan lanjut mendapati tuan punya premis iaitu seorang wanita tempatan tiada kebenaran untuk memiliki dan menyimpan barang Kawalan berjadual.
“Wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan. Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membeli minyak bersubsidi RON95 dan diesel di stesen minyak yang diserbu menggunakan tong pelbagai size melalui kenderaan dan pemandu tempatan sebelum dikumpul di stor terbabit untuk dijual kepada kenderaan asing.
“Waktu pembelian minyak bersubsidi berkenaan dilakukan bermula 10 pagi sehingga tamat operasi stesen minyak terbabit.
“Orang awam disaran menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarangaklumat aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram dapat dibanteras sehingga ke akar umbi,” katanya. – Malaysiapost

