Desas-desus Tengku Zafrul tanding di Kuala Selangor semakin kuat

0
3

DESAS-desus menyatakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz kini ‘mengintai’ kerusi Parlimen Kuala Selangor untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin kuat.

Situasi itu bertambah jelas apabila Tengku Zafrul kini kerap menghadiri program bersama masyarakat serta ziarah di beberapa kawasan di Parlimen tersebut.

Parlimen Kuala Selangor kini disandang oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad daripada Parti Amanah.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Tengku Zafrul berkongsi aktiviti hujung minggu lalu di sekitar Jeram, Ijok serta beberapa kampung berhampiran pekan Kuala Selangor.

Antaranya beliau melawat singgah menunaikan solat Isyak dan menyertai mesyuarat bersama Jawatankuasa Masjid Kampung Jaya Setia, Ijok, untuk keperluan infrastruktur dan pembangunan prasarana.

Beliau juga hadir jamuan Hari Raya anjuran Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia di Laman Agro Sembilang, Jeram.

Tengku Zafrul turut dijemput ke Majlis Mesra Aidilfitri di Arena Pasir Tuntong, Kuala Selangor, selain merasmikan Rumah Tamu Homestay Villa 288 di Kampung Api-Api.

Minggu lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata tidak ada salahnya jika Tengku Zafrul turun ke kawasan di Selangor atas kapasitinya sebagai menteri.

Noh berkata, soal desas-desus menteri kewangan itu mahu bertanding di Kuala Selangor PRU akan datang biarlah ditentukan oleh pucuk pimpinan partinya.

Sebelum itu Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Tengku Zafrul adalah ahli Umno sebelum dilantik Menteri Kewangan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim menolak kehadiran Tengku Zafrul dalam mana-mana program di Parlimen kawasan tersebut.

Menurutnya, beliau telah mengeluarkan arahan kepada kesemua kepimpinan parti empat peringkat untuk tidak terlibat dengan sebarang program dengan Zafrul. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here