Projek ternakan ayam: KPLB salur lebih RM59 juta kepada FELCRA Berhad

0
2

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan RM59.64 juta peruntukan geran dalam Rancangan Malaysia ke-12 kepada FELCRA Berhad bagi melaksanakan Projek Ternakan Ayam Padaging Sistem Tertutup.

Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Abdul Rahman Mohamad memaklumkan projek itu akan dilaksanakan di Tanjung Seratus, Kuala Rompin, Pahang.

Menurutnya, KPLB melalui FELCRA Berhad melaksanakan inisiatif itu untuk memperkembang dan mengukuhkan gedung makanan utama negara terutama dalam industri penternakan dan pertanian.

“Projek ini telah berlangsung dengan kerja-kerja pembersihan tapak dan menyediakan jalan masuk.

“Seterusnya, kerja pembinaan dijangka bermula pada Jun 2022,” katanya hari ini.

Tambah Abdul Rahman, proses pembinaan itu adalah tugasan rumit dengan pelbagai prosedur yang perlu dipatuhi.

“Oleh itu, dijangka projek ini akan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2023,” katanya.

Beliau berkata, projek itu adalah idea strategik dan komitmen FELCRA Berhad untuk mengadaptasi pengalaman dan strategi melaksanakan Projek Ternakan Ayam.

“Projek Mega Makanan Negara ini akan membuka 500 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Dijangka penternakan mega ini akan menghasilkan 600,000 ayam per pusingan atau dalam setiap 35 hari,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyedari kekurangan sumber bekalan ayam sering menjadi isu terutama ketika musim perayaan.

“Saya doakan semoga inisatif yang diambil oleh KPLB melalui FELCRA Berhad ini akan berjaya dan mampu menampung bekalan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here