PERSATUAN Pengamal Adat Tradisional Sabah (Sunduan Nabalu) hari ini, meminta semua masyarakat orang asal di negeri itu bersatu dan berganding bahu bersama kerajaan negeri yang baharu.
Presidennya, Shalmon Sanagan berkata, kumpulan masyarakat dari pelbagai suku kaum itu sebelum ini banyak menghabiskan masa untuk berpolitik.
Justeru, beliau menyeru semua kumpulan yang terlibat, dapat memberi sumbangan kepada kerajaan negeri dalam misi membangun dan mentadbir negeri.
“Pembentukan kerajaan baru kali ini akan membawa harapan baru buat rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah yang baharu, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor serta tiga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Bung Moktar Radin dan Datuk Joachim Gunsalam.
Tambah Shalmon, gandingan mantap dan pengalaman semua tokoh yang menerajui kerajaan negeri itu mampu memacu Sabah ke tahap yang lebih tinggi.
Semalam, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Kota Kinabalu. – Malaysiapost

