Wanita patah tulang belakang jatuh tali ayunan

0
2

SEORANG wanita patah tulang belakang selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti terjunan ‘tali ayunan’ di Kuala Kubu Bharu, Selangor, Ahad lalu.

Siti Halijah Abd Rahim, 33, dilaporkan terjatuh pada ketinggian kira-kira 10 meter selepas berlaku kesilapan teknikal pada kabel ayunan menyebabkan dia terhempas ke atas batu dan jatuh ke dalam sungai.

Adiknya, Mohamad Yakub Abd Rahim, 31, berkata ketika kejadian dia baru selesai melakukan terjunan sementara ahli keluarga yang lain termasuk ibunya sedang memerhati di platform pengguna.

“Kakak memang suka sukan ekstrem. Sehari sebelum kejadian pun dia pergi mendaki gunung di Negeri Sembilan dan pulang dalam ja. 12 malam.

“Sudah lama dia nak buat terjunan rop swing. Saya selalu tepis ajakannya, tapi kali ini saya tunaikan hajatnya itu. Kami sekeluarga pergi pada hari tu termasuklah emak.

“Selepas daftar, giliran saya yang terjun dahulu. Masa saya di bawah, saya tengok dia terjun dan swing sampai berhenti.

“Kira-kira 10 meter dari atas air, saya sempat sembang dengan dia. Dia kata best gila. Saya pusing ke belakang nak ke tempat dia mendarat, tiba-tiba dengar suara jatuh … sekelip mata, “katanya seperti dilaporkan Mstar.

Mohamad Yakub berkata, kakaknya yang berada di dalam air diselamatkan oleh petugas ‘water rafting’ yang berada berdekatan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

Katanya, selesai rawatan awal, Siti Halijah dipindahkan ke Hospital Selayang dan menjalani rawatan akibat patah tulang belakang pada pagi Selasa.

“Masa diselamatkan kakak memang tak sedar. Mereka pam dada dan kemudiannya kakak sedar. Masa tu kakak tak ingat apa-apa, dia tanya ada kat mana?

“Saya cakap, kita jalan-jalan je … dia boleh bercakap tapi sangat lemah. Dia kata kaki tak rasa. Dia ulang ayat kaki tak rasa tu sampailah kami tiba ke hospital,” katanya.

Katanya, dia menyifatkan apa yang berlaku sebagai ketentuan Allah dan berharap ada sinar buat kakaknya itu.

“Cuma saya minta penyedia khidmat aktiviti itu tingkatkan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan seperti letak jaring fleksibel dan sebagainya,” katanya.

Katanya, kakaknya sebelum ini berkhidmat dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebelum berhenti kerja untuk menjaga arwah bapanya yang ketika itu jatuh sakit.

“Dia banyak berkorban untuk keluarga. Kami lima beradik dah berkahwin, hanya kakak masih bujang. Jadi dia ambil keputusan untuk jaga mak dan arwah ayah masa dia berhenti kerja,” katanya. -Malaysiapost

Gambar kredit : mstar