‘Tak salah berseni, tapi agama perlu jadi sendi’ – Da’i Fuad

0
3

PENDAKWAH bebas Da’i Fuad Mohktar tampil dengan surat terbuka menegur Baby Shima, susulan kontroversi penyanyi itu bergelek pada sambutan rumah terbuka Aidilfitri, baru-baru ini.

Kontroversi tersebut tercetus apabila tular aksi Baby Shima, bergelek di sebuah rumah terbuka, dan jawapan penyanyi itu mendakwa dia mahu ‘tahan kentut’ telah menambahkan lagi kemarahan netizen dengan tindakannya itu.

Susulan itu, menerusi hantaran di Instagram, Fuad mengutuskan surat terbuka kepada Baby Shima yang turut terkenal dalam arena dangdut Indonesia.

Dalam surat itu, Fuad menyatakan suasana di Malaysia dan Indonesia tidak sama, dan negara ini agama Islam dijaga oleh Mufti dan ada undang-undang yang memelihara kesucian agama.

“Tidak salah nak berseni tapi ingatkan agama harus menjadi sendi. Jangan terlebih berhibur sehingga maruah menjadi lebur.

“Shima adalah ikon hiburan, banyak adik-adik yang melihat dan menonton, maka jadilah artis yang memberi inspirasi positif dan panduan yang baik buat masyarakat terutama golongan remaja,” tulisnya.

Dalam masa sama, Fuad berkata sifat malu adalah perisai wanita daripada diambil kesempatan, dan ianya lahir daripada hati yang jernih kepada Alllah.

“Saya harap Shima dapat mengambil manfaat daripada segala teguran ini. Marilah membina masa depan hiburan tanah air yang lebih mendidik berbanding sekadar melalaikan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, tindakan pelantun lagu Lalai itu bergelek sakan pada sambutan rumah terbuka hari raya baru-baru ini mendapat kecaman ramai apabila video persembahannya tular dan hangat diperkatakan ramai.

Difahamkan, Shima membuat persembahan di sebuah majlis rumah terbuka hari raya baru-baru ini menyanyikan lagu Sesuci Lebaran nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here