PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) akan berakhir hari ini dan setakat ini keseluruhan 2,892,299 dos sudah diberikan kepada kumpulan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia.
Jumlah itu membabitkan 1,720,411 kanak-kanak yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau 48.4 peratus, manakala yang lengkap dua dos adalah seramai 1,171,888 kanak-kanak atau 33 peratus setakat semalam.
Berdasarkan data menerusi laman sesawang COVIDNOW, sejumlah 7,828 dos harian yang diberikan kepada kumpulan kanak-kanak semalam membabitkan 4,805 dos pertama dan 3,023 dos kedua.
Ibu bapa dan penjaga hanya mempunyai peluang hari ini sahaja untuk mendapatkan vaksin Covid-19 secara percuma untuk anak mereka yang berusia lima hingga 11 tahun.
Bermula esok tiada lagi vaksin Pfizer dan Sinovac yang akan ditawarkan secara percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepa PICKids tamat hari ini.
Sementara itu, bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,913,596 atau 93.6 peratus lengkap divaksin, manakala 3,010,184 atau 96.7 peratus daripada kumpulan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Dalam pada itu, sejumlah 16,096,363 atau 68.4 peratus orang dewasa di negara ini menerima suntikan dos penggalak, 22,974,497 atau 97.6 peratus lengkap dua dos suntikan vaksin dan 23,251,151 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Secara keseluruhan jumlah kumulatif pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Malaysia mencatatkan sebanyak 70,923,930 dos. – Malaysiapost

