AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menahan tiga kapal tangki yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Johor Timur, kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, ketiga-tiga kapal tangki itu ditahan dalam satu operasi yang melibatkan aset Zon Maritim Tanjung Sedili, sebuah pesawat udara milik Maritim Malaysia dan tujuh anggota Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia.
Menurutnya, penahanan terpaksa dilakukan secara ‘force boarding’ oleh Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia, berikutan kedegilan kapal tangki terbabit memberikan kerjasama untuk diperiksa penguat kuasa.

“Kesemua kapal tangki tersebut telah ditahan di kedudukan 9.1 batu nautika timur Tanjung Siang, pada jam 12 tengah hari sehingga 7 malam.
“Kapal tangki yang berdaftar dari Singapura, Malabo dan Monrovia itu dikendalikan 39 kru terdiri dari warga Indonesia, Singapura dan Rusia berumur di antara 24 tahun hingga 62 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(K) bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran dan 491B(1)(L) bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.
“Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Nakhoda ketiga-tiga kapal turut disiasat mengikut Sekyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya bersalah,” katanya.
Menurutnya, Maritim Malaysia Negeri Johor memberi amaran dan mengingatkan supaya semua kapal-kapal yang menjalankan aktiviti di perairan negeri Johor mematuhi undang-undang bagi mengelakkan tindakan tegas diambil demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negeri Johor terus terjamin. – Malaysiapost

