Covid-19: Pusat beli-belah tak perlu ditutup – KKM

0
3

FAKTOR keluasan sesebuah premis akan diambil kira oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memutuskan sama ada ia perlu ditutup atau sebaliknya, jika berlaku ke positif Covid-19.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM menerusi infografik dimuat naik di laman sosial KKM memaklumkan, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh di lokasi atau kawasan yang pernah dikunjungi individu disahkan positif Covid-19.

Katanya, jika lokasi atau kawasan yang telah dilawati pesakit Covid-19 itu sempit dan tertutup seperti restoran, KKM akan mengarahkan ia ditutup.

Penutupan dibuat untuk sementara waktu jika terdapat kemungkinan risiko penularan.

Bagaimanapun jika lokasi itu luas seperti pusat beli-belah, selepas disifeksi dan proses nyah kuman, ia boleh dikunjungi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.

Namun jika penularan atau punca dikenalpasti di pusat beli-belah, tindakan penutupan akan dilakukan.

“Orang ramai perlu mematuhi nasihat KKM seperti mengelak berada di tempat sesak dan sempit, meningkatkan kebersihan diri dan pakai pelitup muka,” kata KKM.

Sejak seminggu lalu, jumlah kes positif Covid-19 membabitkan pesakit yang pernah melawat ke pusat membeli-belah dilaporkan meningkat.

Bagaimanapun, tiada penutupan dilaksanakan selepas KKM menjalankan disifeksi dan proses nyah kuman. – Malaysiapost