RIMAS terhadap segelintir netizen yang sering mempersoalkan saiz badannya, pelakon jelita Uqasha Senrose mengadu kepada suaminya Kamal Adli perihal hal berkenaan.
Menurut Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, dia berasa hairan dengan segelintir netizen yang gemar ‘mengambil berat’ mengenai saiz dan bentuk tubuhnya terutamanya selepas dia mendirikan rumah tangga.
Kakak kepada pelakon Nelydia Senrose itu menganggap dia semakin bahagia disamping suami tercinta, tidak kisah bentuk badannya kurus atau gemuk.
Sebaliknya, Uqasha, 29, berkata, netizen yang menyakitkan hati orang lain hanya mendapat dosa semata-mata.
“Abang, dia orang ni… saya kurus, cakap saya kurus sangat, tapi bila badan naik sikit terus panggil saya gemuk.
“Abang babap dia orang. Ada i kisah, suka hati i la nak chubby ke slim ke. I tengah bahagia. Badan boleh turun tapi sakitkan hati orang percuma dapat dosa kering,” katanya di Instagram, hari ini.
Dalam hantaran itu, Uqasha turut berkongsi beberapa keping foto dia menghadiri malam Anugerah MeleTOP Era 2021 yang berlangsung di PICC, Putrajaya, semalam.
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen menganggap pelakon drama Setelah Terlafaznya Akad itu tetap kelihatan cantik tidak kira kurus atau gemuk, malah aktres itu nampak lebih berseri selepas berkahwin.
“Awak cantik tak kira apa pun. I adore you Sha. Yang pertikaikan itu ‘kau tu cantik sangat ke’.
“Ala tak gemuk sangat pun. Normal la badan lepas kahwin lain sikit. Ala kalau artis sekejap saja boleh kurus. Apa-apa pun tetap cantik.
“Tak kisah la slim ke mok (gemuk) ke janji cantik… sibuk saja yang cakap bukan-bukan itu,” komen beberapa netizen.
Uqasha dan Kamal selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri di sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada 5 November lalu. -Malaysiapost

