GARA-GARA ditegur supaya tidak mencuri wang ibunya, seorang penganggur mengamuk dan mengacukan senjata ke arah seorang lelaki dalam kejadian di gerai makan di Pandan Indah.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku pada 12.30 tengah malam semalam apabila suspek berusia 32 tahun bertindak demikian selepas pengadu berusia 36 tahun yang juga kenalannya menegur supaya meninggalkan perbuatan itu.
“Punca kejadian adalah kerana pengadu telah menegur dan menasihati suspek namun tidak diendahkan sebaliknya lelaki itu mengatakan tidak perlu masuk campur urusannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan, susulan itu polis menahan suspek yang turut mempunyai lapan rekod kes dadah dan jenayah di lokasi kejadian pada 1 pagi.
“Polis turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya memaklumkan suspek direman empat hari bermula hari ini.
Mohamad Farouk berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. -Malaysiapost

