Bukan KFC tetapi Darul Aman FC

0
2

TIDAK mahu sama seperti ayam goreng menyebabkan pasukan bola sepak Kedah dikenali sebagai Darul Aman FC (DFC) sebagai nama rasmi selepas proses penswastaan berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pemilihan berkenaan dibuat bagi mengelakkan penggunaan nama yang sama dengan sebuah syarikat makanan segera sedia ada.

Katanya, pasukan Darul Aman FC juga akan menggunakan logo baharu yang dipilih sendiri oleh beliau dan telah didaftarkan dalam proses penswastaan yang dibuat sebelum ini.

Beliau menjelaskan, logo berkenaan akan merangkumi beberapa item yang melambangkan negeri Kedah termasuk lambang bunga padi dan warna rasmi Hijau Kuning.

“Bila kita fikir-fikir Kedah Footbal Club akan jadi KFC, (kita) tidak mahu jadi ayam goreng, nak elak daripada ayam goreng kita namakan Darul Aman FC (DFC), masih guna warna yang sama, lagu yang sama, hijau kuning, kita boleh bersorak sama, logo kena lain, DFC kena ada logo sendiri lah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sanusi menjelaskan, ketika ini KFA masih memegang sepenuhnya pemilikan Darul Aman FC dan turut mengalukan-alukan kerjasama mana-mana pihak termasuk Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) dalam memiliki saham didalam DFC.

Katanya, pihaknya juga akan menjalankan rundingan dengan beberapa pihak yang berminat dalam masa terdekat selain mengharapkan pihak berkenaan perlu mengemukakan bukti kedudukan dana yang dimiliki.

Sebelum ini, Kedah menjadi pasukan terbaharu yang berjaya melengkapkan proses pemisahan dari Persatuan Bolasepak (FA) kepada Kelab Bolasepak (FC) seperti ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum 30 September. -Malaysiapost