PRU15: DAP perlu kekal tawan Pulau Pinang demi Kit Siang 

0
2
https://www.facebook.com/35787761072/photos/pb.100044336560741.-2207520000../10157965189016073/?type=3

KEJAYAAN DAP menawan Pulau Pinang sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 adalah disebabkan asas kukuh yang diletakkan Lim Kit Siang sejak 1986, kata Anthony Loke.  

Setiausaha Agung DAP itu, berkata Kit Siang menerajui parti itu pada PRU 1986 dalam ‘Pertempuran Tanjung’ dan ia merupakan percubaan pertama parti tersebut menawan Pulau Pinang. 

“Kit Siang berjaya merampas kerusi Parlimen Tanjung dari parti Gerakan, dan DAP menang 10 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

“Selepas itu, dalam PRU 1990, DAP hampir menawan Pulau Pinang dengan memenangi 14 daripada 33 kerusi DUN. 

“Kit Siang mengetuai misi ‘Tanjung 2’ dan menewaskan Ketua Menteri Pulau Pinang, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu, di kerusi negeri Padang Kota,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Anthony menghadiri Majlis Makan Malan Menghargai Sumbangan Kit Siang yang dianjurkan DAP Bukit Mertajam.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, percubaan DAP menawan Pulau Pinang masih tidak berjaya ketika itu kerana kekurangan tiga kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Katanya, dalam misi ‘Tanjung 3’ pula pada PRU 1995, ia mencatat kemerosotan kepada DAP apabila kehilangan 13 daripada 14 kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini.

“Untuk tiga penggal berturut-turut dari 1995 hingga 2008, DAP hanya mempunyai seorang wakil dalam DUN Pulau Pinang

“Dalam Tsunami politik 2008, DAP kembali menyapu bersih semua kerusi dipertandingkan dan membentuk kerajaan negeri dengan rakan gabungan kami,” katanya.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, walaupun Kit Siang tidak pernah menjadi Ketua Menteri, keberanian dan gerakan strategik beliau membolehkan DAP menerajui Pulau Pinang sejak 2008.

“Justeru, saya menyeru kepada semua rakan DAP di Pulau Pinang agar kekal istiqamah dan memberi yang terbaik bagi mengekalkan mandat mentadbir Pulau Pinang pada PRU15 dan seterusnya.

“Itulah cara yang paling bermakna untuk menghormati pengorbanan dan Lim Kit Siang,” katanya. – Malayispost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here