Bekalan ikan kurang: Rakyat tak peduli adegan salah menyalah – Zahid 

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

RAKYAT tiada masa untuk ambil peduli adegan salah menyalah berhubung isu kekurangan bekalan ayam dan ikan ketika ini. 

Ini kerana kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, isu kekurangan dua bahan makanan itu mereka yang terpaksa menanggung kesannya. 

“Rakyat perlukan solusi pantas dan tentunya kementerian serta agensi yang dipertanggungjawabkan perlu menyelesaikannya. 

“MAFI, MOF, EPU dan LKIM perlu sepakat dan bertindak segera jika benar masalah birokrasi dan sistem penyampaian yang lemah punca permasalahan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Terdahulu Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa masalah birokrasi dan sistem penyampaian lemah punca kekurangan bekalan ikan di negara ini. 

Beliau mendakwa telah membentangkan masalah bekalan ikan kepada lembaga pengarah yang dianggotai oleh kementerian berkaitan. 

Ia melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) agar tindakan segera diambil. 

Namun dakwanya masih tiada jawapan balas mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung kesan kenaikan harga ikan. 

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata beliau pernah menzahirkan kekhuatiran harga ikan akan meningkat disebabkan kekurangan bekalan ayam dan ia ternyata berasas. 

Tambahnya, tentunya keadaan lebih memburuk apabila pendaratan ikan terutama di utara Semenanjung dilapor berkurangan sehingga 70 peratus. 

“Daripada lebih sejuta tan kepada hanya kira-kira 300,000 tan sebulan berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak dua bulan lalu. 

“Seperti juga pernah saya nyatakan, perihal isu bekalan makanan sepatutnya sudah dalam “prediction” pihak bertanggungjawab. Faktor pandemik dan cuaca. 

“Seharusnya pelan kontingensi telah dirangka oleh kementerian dan agensi berkaitan untuk menangani hal yang sudah diduga akan berlaku. 

“Malangnya apa yang kita dapati adalah sikap menunding jari pula yang berlaku,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here