GANDINGAN Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli yang dipilih sebagai Timbalannya, adalah tiket terbaik parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sambil melahirkan rasa syukur dipilih antara empat naib presiden, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia juga menandakan pembaharuan dan dedikasi kita terhadap perjuangan reformasi.
“Pemilihan kali ini memperlihat KEADILAN tidak kekurangan bakat, komitmen, dan semangat dalam kalangan ahli-ahlinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Nazmi berkata, PKR masih mengekalkan amalan ‘satu anggota, satu undi’ dan memperkenalkan inovasi baharu seperti aplikasi ADIL dan pengundian atas talian, yang meletakkan parti itu di hadapan parti arus perdana yang lain.
Bagaimanapun, beliau berkata PKR tidak boleh melupakan hakikat peratusan keluar mengundi adalah rendah untuk pemilihan parti kali ini.
“Ini petanda bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk mengaktifkan akar umbi KEADILAN.
“Kita mesti mencari cara untuk memberdayakan ahli kita, bukan hanya dengan menambah anggota dan ranting baharu tetapi memperkasakan ahli,” ujarnya.
BACA LAGI: Gandingan Anwar-Rafizi kekalkan PKR sebagai parti retorik – Puad
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata pemilihan PKR kali ini adalah bukti anggota parti itu telah menolak strategi ‘Khemah Besar’.
Tegasnya, anggota telah menghantar isyarat jelas mereka mengharapkan PKR untuk memperkukuh gabungan Pakatan Harapan (PH) sedia ada.
“Mereka mahu kita menolak kepentingan politik dengan jalan pintas, menolak kerjasama dengan kuasa yang telah berulang kali menolak pembaharuan, keadilan sosial serta semangat berbilang kaum dan mengkhianati mandat rakyat.
“Mereka telah mengundi kita untuk membentuk manifesto yang meyakinkan dan akan memberi harapan kepada rakyat – terutamanya pengundi atas pagar,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Nik Nazmi

