PENYANDANG Naib Presiden PKR, Tian Chua kalah dalam perebutan jawatan ketua cabang PKR Batu selepas tewas kepada pencabarnya, P Prabakaran.
Malaysiakini melaporkan, Chua – antara pemimpin terawal bersama PKR ketika era reformasi, memperoleh 306 undi manakala Prabakaran, 26, mendapat 517 undi.
Sebanyak 82 undi ragu dikemukakan terhadap Prabakaran, manakala 24 lagi dikemukakan kepada Chua.
Undi ragu diasingkan daripada pengiraan kerana memerlukan pengesahan lanjut daripada jawatankuasa pemilihan PKR sebelum ia boleh disahkan.
Bagaimanapun, undi ragu tidak mencukupi untuk mengubah keputusan pemilihan PKR di cabang tersebut.
Chua tidak mempertahankan jawatan naib presiden pada pemilihan kali ini, sebaliknya hanya bertanding jawatan ketua cabang.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Chua menyatakan sokongan kepada Prabakaran yang bertanding kerusi Parlimen Batu selepas beliau hilang kelayakan. – Malaysiapost

