‘29 Mei tarikh yang saya tidak lupa sampai bila-bila’ 

0
2

TANGGAL 29 Mei 2022 genap 32 tahun pemergian Allahyarham Tun Hussein Onn yang merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-3.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, merupakan anak kepada Allahyarham, berkata tarikh 29 Mei 1990 hari pemergian ayahanda tercinta adalah detik yang tidak pernah dilupakan.

“Tidak ada tugas yang paling murni selain berkhidmat untuk negara, saya tidak penting, apa yang saya lakukan lebih penting”. Kata-kata Ayahanda akan saya ingat dan sematkan dalam diri sampai bila-bila.

“Semoga tenang di sana Allahyarham ayahanda tercinta. Semoga terus dicucuri rahmat Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin,” tulisnya dalam hantaran Facebook.

Dalam hantaran itu, Hishammuddin memuat naik gambar beliau sedang duduk sambil memegang bingkai foto Allahyarham bapanya ketika masih bergelar Perdana Menteri.

Hantaran itu dibanjiri dengan komen-komen yang mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham selain terdapat netizen yang turut serta ada ketika pengebumian tokoh itu 32 tahun lalu.

“Saya juga terlibat dalam pengebumian Almarhum Tun pada waktu itu di Masjid Negara dan terlibat dengan majlis doa di rumah Jalan Duta (100 hari). Semoga Allah beri syurga pada Almarhun tanpa hisab,” kata Kodin Koko Din.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beramal soleh,” kata Melati Arief.

Allahyarham Tun Hussein meninggal dunia di Pusat Rawatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat pada usia 68 tahun disebabkan sakit jantung.

Allahyarham telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari 1976. Tun Hussein Onn secara rasmi telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang atas sebab kesihatan pada 17 Julai 1981. 

Jenazah Allahyarham telah diberi penghormatan pengkebumian negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here