Bersatu semakin lemah – Ahmad Maslan

0
2

TINDAKAN Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraidah Kamaruddin keluar dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), menunjukkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin lemah.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu tidak akan berlaku sekiranya Akta Antilompat Parti segera dikuatkuasakan.

Beliau berkata, Rang Undang-Undang Antilompat Parti perlu dibentangkan di Parlimen pada Julai ini biarpun tiada Sidang Dewan Khas.

“Apabila Bersatu telah kehilangan seorang Ahli Parlimen, pada pandangan saya mereka mahu seorang lagi Menteri dari Bersatu itu tidak dijadikan tekanan kepada Perdana Menteri (PM).

“Mereka bukan semakin kuat tetapi lemah, apabila parti lemah nak minta lagi kuota yang sama. Kita kena beri kebebasan kepada PM untuk pilih, jika perlu merombak itu adalah hak prerogatif PM,” katanya seperti dilaporkan Astro AWANI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Umno Pontian dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut di Pontian, Johor, hari ini.

Menurutnya, tuntutan Bersatu bagi kekosongan jawatan menteri yang ditinggalkan ahli mereka selepas keluar daripada parti tidak wajar ditimbulkan.

“Ada parti yang menyatakan kerusi kementerian itu milik mereka, ia tidak wajar berlaku kerana urusan kabinet adalah kuasa prerogatif PM.

“Hendak letak siapa, di kementerian mana dan berapa jumlah komposisi wakil parti dalam kabinet itu juga hak PM,” katanya. – Malaysiapost10:52 PM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here