Umno-Pas boleh kerjasama dalam konteks lain – Najib

0
1

UMNO dan Pas masih boleh meneruskan pemuafakatan dalam konteks lain walaupun kedua-dua parti tidak lagi bekerjasama melalui Muafakat Nasional (MN), kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu melihat kerjasama antara kedua-dua parti itu menerusi MN seakan-akan tidak dapat diselamatkan lagi, namun berpandangan masih boleh bekerjasama dalam hubungan yang mendatangkan manfaat kepada ummah dan negara.

“Mula-mula kita memang sangat mengalu-alukan konsep MN, tetapi nampaknya mutakhir ini menghadapi kesukaran untuk kita nak mengamalkan konsep itu.

“Walau apa juga keadaan macam mana pun, saya harap semangat pemuafakatan itu tidak akan padam (dan diteruskan) dalam bentuk-bentuk lain….mungkin kita boleh bekerjasama dalam konteks yang berlainan.

“(Kerjasama antara Umno dan Pas) boleh (diteruskan) asalkan ia boleh mendatangkan manfaat kepada ummah dan negara secara keseluruhannya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman di Dataran Permata Seberang Takir, Terengganu hari ini.

Ditanya sama ada MN perlu dikekalkan atau sebaliknya, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berpendapat sukar untuk berbuat demikian berdasarkan situasi ketika ini.

“Nampak kesukaran, tetapi mungkin pada peringkat-peringkat tertentu kalau ada persefahaman. Mana tahu kalau tak dapat peringkat nasional, mungkin peringkat akar umbi asalkan kita melihat kepada sudut kepentingan Islam, ummah dan negara pada keseluruhan.

“Setakat ini, pada peringkat asal tak boleh agaknya (diselamatkan), tetapi mungkin dalam bentuk lain di peringkat akar umbi…ini kerana di peringkat akar umbi pemimpin UMNO dan PAS di kebanyakan tempat sudah serasi satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, mengenai tarikh sesuai Pilihan raya Umum ke-15 (PRU-15), Najib berkata beliau menyerahkan kepada kepimpinan untuk menentukan waktu yang sesuai untuk itu.

“Terpulang pada pimpinan tertentu untuk memikirkan asalkan dalam nawaitu kita masa itu mestilah yang terbaik untuk kepentingan bersama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here