Polis selamatkam dua kanak-kanak dipercayai mangsa dera

0
2

DUA kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun yang dipercayai didera berjaya diselamatkan dalam serbuan polis di sebuah rumah flat di kawasan Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang, pagi tadi.

Serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada jam 11.15 pagi tadi turut menahan dua wanita yang dipercayai mendera kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata pihaknya menerima laporan polis pada jam 8 pagi tadi daripada seorang lelaki tempatan di Balai Polis Air Itam.

Menurutnya, lelaki terbabit melaporkan mengenai satu hantaran di Facebook oleh orang awam tentang gambar dua kanak-kanak sedang makan di sebuah restoran dengan kesan kecederaan di bahagian muka dan mengsyaki kanak-kanak terbabit mungkin mangsa penderaan.

“Bertindak atas maklumat itu satu serbuan dan pemeriksaan dijalankan di sebuah rumah flat di kawasan Air Itam dan berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak.

“Kanak-kanak berkenaan adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

“Dalam serbuan berkenaan juga dua suspek wanita warga tempatan iaitu ibu dan nenek saudara mangsa masing-masing berusia 28 dan 52 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal pada tubuh badan kedua-dua mangsa menemui kesan luka dan lebam di bahagian muka serta badan disyaki akibat penderaan.

“Kedua-dua mangsa akan dirujuk ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut. Siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Soffian turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Timur Laut di talian 04-218122 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here