Mekanisme lebih efektif diperlukan bagi tangani kes bunuh diri – Ahmad Zahid

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

SIRI kejadian bunuh diri atau cubaan bunuh diri yang dilaporkan kebelakangan ini tidak boleh dibiarkan berterusan dan suatu mekanisme yang lebih efektif perlu dilakukan untuk menghentikannya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno itu berkata, insiden seperti terjun jambatan, gantung diri dan sebagainya adalah suatu berita yang sangat mendukacitakan.

Menurutnya, permasalahan itu pernah dbangkitkannya beberapa kali sebelum ini dan beliau menegaskan ia tidak boleh dibiarkan berterusan ketika pasca pandemik Covid-19.

“Sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikannya. Seperti saya katakan nyawa setiap rakyat Malaysia adalah berharga. Ia tidak boleh lagi dianggap sebagai kes terpencil.

“Kajian dan semakan secara mendalam perlulah dilakukan oleh pihak berwajib. Keadaan dikhuatiri semakin memburuk jika tiada inisiatif yang serius dari sekarang,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Menurutnya, seperti yang diketahui pelbagai faktor mendorong kepada perbuatan bunuh diri dan kebanyakannya berkait dengan isu kesihatan mental disebabkan tekanan hidup dan sebagainya.

“Dengan demikian suatu mekanisme yang lebih efektif dan mudah akses perlu diwujudkan untuk membantu orang ramai mengenal pasti tahap kesihatan mental mereka sekali gus mendapatkan bantuan jika perlu.

“Ia kerana dalam sebilangan kes mangsa dikatakan tidak menyedari diri sedang berdepan isu kesihatan mental atau berasa segan untuk tampil mendapatkan rawatan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, bagi jangka masa panjang Pendidikan Kesihatan Mental perlu dilaksanakan dengan lebih khusus dan efisien di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi.

Katanya, tahap kesihatan mental murid dan pelajar perlu diukur dengan kekerapan paling munasabah dari semasa ke semasa untuk melindungi mereka daripada gejala itu.

“Nilai rohaniah perlu diterapkan sebagai salah satu elemen untuk memperhebatkan jiwa dan fikiran mereka dalam menelusuri kehidupan yang penuh dengan cabaran kelak.

“Masyarakat juga perlu didedahkan secara meluas tentang aspek kesihatan mental supaya mereka dapat saling bantu membantu,” katanya.

Beliau menegaskan, insiden bunuh diri bukan sahaja melibatkan kehilangan nyawa, tetapi turut memberi kesan kepada psikologi ahli keluarga mangsa.

“Saya mendoakan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia dan ingatlah bunuh diri bukanlah jalan penyelesaian kepada apa jua permasalahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here