Amah Indonesia 60 tahun dakwa didera ‘Datuk’

0
2

SEORANG amah warga Indonesia berusia 60 tahun mendakwa ditampar, ditendang dan dipukul di kepala dengan penyapu, selain tidak dibayar gaji selama empat bulan oleh majikannya iaitu wanita bergelar ‘Datuk’ sebelum berjaya melarikan diri.

Memetik laporan FMT, Satuni (bukan nama sebenar) turut mendakwa dia juga diterajang dan dipaksa bekerja oleh Datuk berkenaan walaupun ketika dijangkiti Covid-19.

“Tenaga saya tak ada, jadi saya baring (di luar tandas), (kemudian) saya ditendang, (Datuk menjerit) bangun, jangan buat drama. Dua kali ditendang,” dakwanya.

Satuni kini berlindung di Kedutaan Indonesia di ibu negara menunggu masa pulang ke kampung halaman.

Selain penderaan fizikal, Satuni berkata dia tidak dibayar walau sesen selama empat bulan bekerja di banglo milik Datuk itu di Shah Alam.

Menurutnya, majikannya adalah ‘wanita glamour’ yang mengurus sebuah yayasan kebajikan dan pernah menghiasi muka depan pelbagai majalah gaya hidup.

Mengimbau pengalaman peritnya, Satuni berkata, dia dipukul atas alasan remeh seperti habuk dinding jatuh ke lantai dan tidak dibersihkan.

“Ambil penyapu, splass (pukul) kepala saya tiga kali, kata saya – Datuk, selama saya punya majikan, tak ada garang seperti kamu,” katanya.

Satuni yang berasal dari Indramayu, Jawa Barat menjadi mangsa agensi pembantu rumah yang mempengaruhinya bekerja di rumah Datuk berkenaan tanpa perjanjian atau kontrak.

Satuni berkata dia melarikan diri ke Kedutaan Indonesia dengan rakan pembantu rumah yang diambil bekerja di rumah banglo itu beberapa bulan kemudian.

Seperti Satuni, Yati (nama samaran) turut mendakwa didera dan dimarahi menyebabkan mereka nekad untuk melepaskan diri daripada penganiayaan itu.

“Hari-hari selalu dimarahi. Setiap detik setiap jam. Kalau Datuk mahu keluar, (saya kena) pakaikan kasut di kaki. Kalau salah sedikit, itu langsung ditendang. Pakai sepatu (kasut) enggak cepatan, langsung dilempar,” katanya.

Yati dan Satuni bernasib baik apabila mendapat bantuan jiran yang prihatin dengan nasib mereka.

Jiran itu menawar membawa dua wanita itu keluar daripada kawasan perumahan itu untuk dihantar terus ke Kedutaan Indonesia.

Mereka menerima tawaran itu apabila Datuk berkenaan berangkat ke Mekah mengerjakan umrah sebelum Aidilfitri, 2 Mei lalu.

Sementara itu, wakil Kedutaan Indonesia memaklumkan pihaknya sedang berusaha mengambil tindakan mahkamah terhadap Datuk berkenaan. – Malaysiapost

Foto Kredit: FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here