PDRM komited pastikan keselamatan sempena perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai – KPN

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan kekal komited memastikan masyarakat dapat menjalani rutin kehidupan dengan rasa selamat dan harmoni dalam suasana negara yang aman sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2022.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yakin perayaan yang kembali dapat diraikan secara normal susulan fasa peralihan ke endemik dengan mengekalkan kebertanggungjawaban bersama ke atas pematuhan Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan Kerajaan.

“Saya dan isteri mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Hari Gawai kepada warga PDRM serta seluruh rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat berketurunan Kadazan-Dusun dan Dayak di Sabah dan Sarawak yang meraikannya.

“Kedua-dua perayaan ini merupakan amalan turun-temurun yang disambut di Sabah dan Sarawak sebagai tanda berakhirnya musim menuai dan menzahirkan rasa kesyukuran atas nikmat hasil tuaian yang dikurniakan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2022.

Bersempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini, beliau turut mengajak seluruh ahli Keluarga Malaysia untuk sama-sama meraikan kepelbagaian perayaan serta mengukuhkan lagi semangat muhibah, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

“Kepada anak perantauan yang pulang menyambut perayaan ini di kampung halaman masing-masing, didoakan semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju.

“Pastikan keselamatan rumah dan harta benda yang ditinggalkan, diberi perhatian sewajarnya, bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan, Gayu Guru Gerai Nyamai,” ucapnya.

Pesta Kaamatan disambut pada 30 Mei ini, manakala Hari Gawai pula pada 1 Jun 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here