BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang mula membuat propaganda berhubung pengumuman Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin keluar dari Bersatu.
Ia selepas tular hantaran di Facebook mendakwa Zuraida akan dilantik jawatan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan bakal menyertai Barisan Nasional (BN).
“Sakit hati pula geng PN. Dah mula buat propaganda menipu. Selama ini, tak ada pun mereka pernah kata Zuraida tak baik. Tiba-tiba saja dah jadi musuh,” katanya dalam hantaran Facebook.
Semalam, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai PBM.
Bagaimanapun, katanya beliau akan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Zuraida berkata, beliau akan berjumpa Perdana Menteri, dalam masa terdekat untuk membincangkan perletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. – Malaysiapost

