‘Hadiah dari London’, kerani rugi RM65,700

0
3

SEORANG kerani bank wanita kerugian RM65,700 selepas ditipu sindiket parcel scam yang mendakwa mangsa menerima bungkusan mengandungi pelbagai barangan berharga dari London dalam kejadian di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata wanita berusia 46 tahun itu, memaklumkan menerima kiriman bungkusan hadiah dari seorang lelaki dipercayai dari London yang dikenali melalui laman sosial Facebook.

“Kemudian mereka bertukar-tukar nombor telefon dan meneruskan perhubungan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa memaklumkan lelaki yang dikenali sejak 18 Ogos itu telah menghantar bungkusan hadiah kepadanya baru-baru ini, sebelum mangsa dihubungi seorang wanita yang mengaku sebagai pekerja sebuah syarikat penghantaran tersebut dan memaklumkan bungkusan itu menyalahi undang-undang.

“Ia berikutan bungkusan itu mengandungi duit pelbagai mata wang dan barangan kemas, justeru mangsa perlu membayar sejumlah wang untuk mendapatkan bungkusan hadiah tersebut, jika tidak ia akan menjadi kes jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang terperdaya telah melakukan sembilan transaksi sejak 24 September lalu hingga semalam ke dalam dua akaun yang diberikan suspek membabitkan wang RM65,700, sebelum menyedari dia ditipu dan telah membuat laporan polis pada hari yang sama.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk mengesan ahli sindiket dan pemilik-pemilik akaun digunakan untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa,” katanya.
-Malaysiapost