PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengemukakan satu nama baru untuk dilantik sebagai anggota Kabinet menggantikan Datuk Zuraida Kamarudin yang mengumumkan keluar dari Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), hari ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), berkata nama itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.
“Saya akan mengemukakan satu nama baru kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet memandangkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri adalah atas kuota Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Sementara itu, mengenai kedudukan Ahli Parlimen Ampang dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhyiddin mengesahkan perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat MPT baru-baru ini.
Beliau berkata, terdapat laporan bahawa Zuraida terlibat secara langsung dalam penubuhan PBM dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti berkenaan.
“Susulan itu, surat tunjuk sebab bertarikh 9 Mei lalu telah dihantar kepada beliau. Beliau telah menjawab surat tunjuk sebab itu menerusi surat bertarikh 23 Mei lalu.
“Langkah seterusnya ialah untuk merujuk kes beliau ke Lembaga Disiplin parti.
“Namun demikian, memandangkan beliau telah membuat pengumuman untuk menyertai PBM melalui satu kenyataan akhbar hari ini, keahliannya dalam Bersatu telah gugur serta merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu,” tegasnya.
Muhyiddin bagaimanapun mengucapkan terima kasih di atas segala sumbangan Zuraida kepada Bersatu selama ini. – Malaysiapost

