Rakyat Malaysia tidak terbabit insiden di Tak Bai – Hamzah Zainudin

0
2

TIADA rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam kejadian letupan bom dan berbalas tembakan di Tak Bai, wilayah Narathiwat, Thailand malam tadi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata buat masa ini tiada sebarang pengumuman mengenai pembabitan rakyat Malaysia dalam kejadian berkenaan.

“Bagaimanapun, saya perlu lebih kepastian sebelum menjawab beberapa soalan berhubung insiden itu.

“Selain itu, tiada isu untuk kita mengetatkan sempadan Malaysia susulan kejadian itu kerana kita memang mengawal ketat sempadan negara,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, media memetik Bangkok Post melaporkan tiga anggota keselamatan cedera selepas sebuah balai polis marin di Tak Bai diserang dengan individu bersenjata api dan bom tangan, semalam.

Serangan bermula 9.35 malam (waktu tempatan), kira-kira enam penyerang membaling bom ke arah balai berkenaan dan melepaskan tembakan dengan raifal automatik.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan pengawal keselamatan asing yang dibawa masuk ke Malaysia mempunyai kepakaran selain mempunyai kesihatan dan fizikal yang baik.

Menurutnya, sektor keselamatan di negara ketika ini menghadapi kekurangan kira-kira 20,000 ke 30,000 pekerja keselamatan dan kerajaan bersetuju untuk membuka peluang kepada negara sumber lain selain Nepal untuk sektor itu.

“Kita setuju dengan negara sumber lain seperti Bangladesh, Pakistan dan sebagainya tapi ada kriteria tertentu perlu dipatuhi iaitu mestilah mempunyai pengalaman dalam sektor berkenaan sama ada pernah bekerja dengan pihak berkuasa masing-masing atau pun syarikat keselamatan di negara mereka.

“Kriteria pemilihan amat ketat sebab kita nak pastikan mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ini bukan hanya sihat tubuh badan tetapi tahu undang-undang juga,” katanya.

Katanya, Malaysia memerlukan 150,000 pengawal keselamatan secara keseluruhan dengan 60,000 orang dari negara luar manakala selebihnya adalah rakyat tempatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here