Pengguna panik, ayam segar di Singapura habis dijual

0
3

BEKALAN ayam segar di pasar dan pasar raya di Singapura habis dijual, susulan orang ramai di negara itu panik membeli demi menyimpan stok untuk kegunaan akan datang.

Permintaan ayam yang tinggi itu timbul selepas pengumuman Malaysia akan menghentikan eksport hingga 3.6 juta ayam sebulan mulai 1 Jun ini, sehingga harga domestik dan pengeluaran kembali mantap, lapor Berita Harian Singapura.

Pemilik gerai ayam di pasar sekitar Bedok, Ghim Moh, Bishan dan MacPherson, berkata ayam habis dijual dalam tempoh satu jam 30 minit iaitu antara jam 8 hingga 9.30 pagi semalam berbanding tiga hingga empat jam sebelum ini.

Manakala, gerai jualan ayam Chop Eng Huat di pasar 216 Bedok North pula habis dijual sekitar 9 pagi.

Penjual, Tan Mei Inn, 50 tahun berkata, kebiasaannya ayam hanya habis dijual sekitar tengah hari.

“Saya sangat sibuk hari ini. Saya belum sempat meneguk air,” katanya.

Menurutnya, pelanggannya membeli bekalan ayam hingga dua atau tiga kali ganda lebih banyak semalam, mereka membeli tiga hingga empat ayam sekali gus.

“Seorang pelanggan saya membeli ayam berharga hampir $300 dengan bahagian ayamnya sekali…kebiasaannya pelanggan tidak membeli sebanyak ini sekali gus,” katanya.

Sementara itu, perniagaan gerai ayam dan itik, 89 Kampong Chicken and Duck, juga di pasar Bedok North itu, meningkat sekitar 50 peratus sehingga jam 9.30 pagi.

Peniaga, Yeow Wei Min, 61 tahun, berkata, dia tidak menaikkan harga ayam kerana pembekalnya belum lagi menaikkan harga ayam itu.

“Bagaimanapun, saya telah membenarkan pelanggan saya mengetepikan tempahan ayam mereka bagi keesokan hari,” jelas Yeow sambil menambah beberapa pelanggan sudah pun membeli tiga kali lebih banyak bekalan ayam daripada kebiasaannya.

Kebanyakan pemilik gerai ayam di pasar juga menjelaskan mereka tidak akan mengehadkan bilangan ayam yang boleh dibeli setiap pelanggan setakat ini.

Dilaporkan, ayam segar juga laris dijual di kebanyakan pasar raya, semalam.

Beberapa cawangan pasar raya Sheng Siong, FairPrice dan Giant di kawasan Bedok kehabisan ayam segar menjelang 9 pagi, dan dilihat cuma hanya tinggal beberapa ayam beku sahaja.

Apabila mengunjungi pasar raya Giant di Bedok sekitar jam 11.30 pagi, hanya beberapa kotak bahagian ayam seperti kaki, kepak dan tulang sahaja yang tinggal.

“Ayam segar terjual pada jam 8 pagi, jelas kakitangan pasar raya itu,” katanya.

Bagaimanapun, di pasar raya CS Fresh by Cold Storage di Great World City, bekalan ayam segar masih boleh diperolehi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here