CADANGAN ‘baharu’ Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkaitan subsidi minyak sebenarnya telah dipraktikkan dan menjadi dasar pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.
Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata, kenyataan Azmin mengenai orang kaya lebih banyak mendapat subsidi berbanding orang miskin bukanlah idea baru malah ianya telah menjadi dasar Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri melalui program rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan.
“Yang pakai BMW lebih guna banyak subsidi minyak dari yang pakai kancil. Apa yang Azmin cadang semalam bukanlah perkara baru, ia adalah program dan dasar BN dahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Isham yang mengakui terlibat secara langsung dalam penstrukturan semula subsidi bersasar ketika Najib menjadi Perdana Menteri menjelaskan, program rasionalisasi subsidi memudahkan kerajaan membantu golongan yang disasarkan dengan berkesan.
“Di bawah program rasionalisasi subsidi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, jika anda kaya, anda tidak akan mendapat banyak subsidi.
“Tetapi, jika anda dalam golongan berpendapatan rendah, kerajaan akan menggantikan subsidi minyak dengan bantuan tunai melalui BR1M. Dengan cara ini, subsidi disalurkan dengan berkesan kepada kumpulan sasar yang memerlukan bantuan,” katanya.
Mengulas lanjut, Isham berkata, cadangan ‘baharu’ Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu amat kontra dengan kempen Azmin ketika bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Tetapi yang batal BR1M, batal GST, dan batal banyak subsidi bersasar adalah PH selepas mereka menang PRU-14, yang mana Azmin pun ada bersama mereka semasa mereka jadi kerajaan sehinggalah dia khianat dan lompat kepada PN dan jatuhkan kerajaan mereka sendiri.
“Dulu masa kita (BN) buat kamu (PH, Azmin) tahu bangkang sahaja, lepas itu kamu batal. Sekarang kamu tiru,” katanya.
Justeru, Isham menasihati Azmin agar meletakkan jawatannya sebagai menteri Kabinet jika lagi mampu menghasilkan idea sendiri bagi mengurangkan beban rakyat.
“Kepada Azmin, sebagai menteri, cubalah cari idea baru, janganlah hanya ciplak idea BN sedekad yang lepas atau ceduk artikel saya lima tahun lepas.
“Kalau tiada idea, letak sahaja jawatan dan beri laluan kepada orang lain yang lebih mampu. Harga barang sekarang sedang naik, apa yang kamu buat untuk menyelesaikannya?” soalnya. -Malaysiapost

