Polis terima empat laporan kanak-kanak dicabul jurulatih wushu

0
3
Polis Di Raja Malaysia

POLIS menerima empat laporan kes cabul kanak-kanak membabitkan seorang jurulatih wushu yang ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual ke atas atlet kendaliannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata laporan itu masing-masing dua di Kuala Lumpur dan dua di Selangor.

Beliau berkata, laporan di Kuala Lumpur diterima daripada dua mangsa berusia 12 dan 13 tahun yang mendakwa mereka dicabul oleh jurulatih itu di sebuah akademi di Cheras.

“Sebelum ini mangsa mendiamkan diri kerana takut dan hanya menceritakan kejadian yang menimpa diri mereka kepada ibu bapa pada April lalu.

“Ibu bapa mangsa segera tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan reman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 372).

Mengulas modus operandi suspek, beliau berkata, berdasarkan siasatan awal suspek mengajak mangsa keluar bersiar-siar dengan menaiki keretanya sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam kereta.

Katanya, setakat ini kertas siasatan kes berkenaan hampir selesai dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, hari ini.

“Jika perlu keterangan lanjut, kemungkinan polis akan mohon sambung reman suspek, namun jika sudah cukup keterangan, suspek akan dituduh dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Habibi memberitahu, operasi akademi wushu itu kini dihentikan sementara waktu berikutan penahanan suspek itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here