Rasuah sektor kesihatan: Anwar gesa SPRM ambil tindakan individu terlibat

0
2

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus membongkar kes rasuah dalam perolehan untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara yang dibuat ketika pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

Presiden PKR itu berkata, individu yang disifatkan sebagai petualang yang merompak dana rakyat itu perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

“SPRM juga perlu terus membongkar dan bertindak ke atas petualang perompak dana rakyat tatkala pandemik menyerang sejak dua tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan agensi itu sedang melakukan siasatan terhadap perolehan berkaitan Covid-19 yang didakwa mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan.

Beliau berkata, terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, siasatan yang sedang dilakukan adalah termasuk aktiviti rasuah dalam perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa mengalihkan bantuan dan pakej rangsangan, penipuan berkaitan peralatan perubatan dan sebagainya. 

Sementara itu, Anwar turut menyambut baik kenyataan Azam berhubung usaha membawa pulang setiap sen dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presiden PKR itu turut menggesa agar SPRM mengambil tindakan pantas mengenai isu terbabit kerana ia melibatkan sikap individu terhadap rasuah dan penyelewengan dana awam oleh penguasa perasuah. 

“Saya menggesa agar SPRM mengambil tindakan pantas mengenai isu ini kerana ia melibatkan sikap kita terhadap rasuah dan penyelewengan dana awam oleh penguasa perasuah. 

“Sikap tegas kita terhadap rasuah dan salahguna kuasa adalah cerminan integriti masyarakat yang tinggi dan tidak harus ada kompromi sama sekali dalam hal melibatkan integriti,” katanya.

Semalam, Azam turut menyatakan komitmen SPRM untuk membawa pulangan setiap sen dana syarikat 1MDB yang diseleweng.

Beliau turut memaklumkan pada 2020, sejumlah RM14 bilion berjaya dituntut melalui kompaun dan penyelesaian daripada pelbagai pihak manakala RM5.11 bilion lagi diperoleh pada tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here