“SAYA tak buat benda macam itu, umur saya 60 tahun… sebelah saya ada isteri dan cucu, saya ada penyakit, hidup saya pun tak lama, kenapa nak buat macam tu.”
Demikian tegas Zainoldin Hussain, warga emas yang dibelasah seorang penunggang motosikal berhampiran jejantas di Padang Jawa dekat Shah Alam, Ahad lalu.
Dalam satu sidang media di Padang Jawa hari ini, Zainoldin turut menafikan dakwaan netizen yang menuduhnya dengan pelbagai tohmahan sehingga menimbulkan kemarahan pemuda berusia 23 tahun itu.
“Tujuan utama sidang media adalah untuk memberi penjelasan mengenai andaian tidak tepat pada diri saya, contohnya ada menyatakan pasal perempuan, langgar orang dan saya minta duit RM200.
“Saya tak sanggup lagi nak baca (tuduhan netizen), mental saya tak kuat,” katanya sambil memaklumkan insiden itu menyebabkan dia cedera di muka, kepala dan rusuk.
Pada masa sama jelasnya, peristiwa tersebut memberi kesan mendalam kepada keluarganya terutama isteri dan cucu kerana mereka menyaksikan kejadian tersebut.
Zainoldin turut menafikan beliau memanggil orang kampung untuk menyerang balas terhadap pelaku selepas insiden dia diserang.
“Saya tak panggil (orang kampung)… kami di Padang Jawa sepakat, kami kenal satu sama lain, masa kejadian orang kampung cuba selamatkan saya, mereka kenal saya, saya tinggal sini lebih 30 tahun.
“Saya tiada kesempatan nak panggil orang kampung, masa kejadian begitu pantas, ia di luar kawalan saya, saya tak angkat telefon suruh panggil (orang kampung) dalam keadaan sakit,” tambahnya. – Malaysiapost

