Rasuah sektor kesihatan: PAC digesa siasat, panggil Azam Baki

0
3

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu menjalankan prosiding berhubung dakwaan rasuah dalam perolehan untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara yang dibuat ketika pandemik Covid-19 seperti didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata PAC perlu memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki untuk mendedahkan lebih banyak perincian kepada jawatankuasa Parlimen itu.

Beliau berkata, Azam perlu mendedahkan lebih banyak perincian mengenai isu rasuah berkenaan, khususnya kementerian atau agensi mana yang terbabit serta sama ada ia membabitkan peringkat Menteri atau Timbalan Menteri.

“Saya menyeru PAC memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tampil memberi keterangan dan maklumat kepada PAC, yang bertanggungjawab memastikan setiap perbelanjaan kerajaan diurus dengan baik dan sempurna.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM juga perlu lebih telus dalam kes ini dan memaklumkan kepada orang ramai lebih banyak maklumat, seperti kementerian dan jabatan kerajaan mana terbabit, sama ada ia membabitkan peringkat menteri atau timbalan menteri, nilai rasuah diseleweng dan sebagainya.

“Orang ramai berhak tahu lebih lanjut kes itu tanpa menjejaskan siasatan SPRM. Jika identiti hakim Mahkamah Tinggi disiasat SPRM boleh didedahkan, saya yakin SPRM boleh ambil tindakan sama dalam kes rasuah babit kepentingan ramai seperti ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Azam memaklumkan SPRM sedang melakukan siasatan terhadap perolehan berkaitan Covid-19 yang didakwa mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan.

Beliau berkata, terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, siasatan yang sedang dilakukan adalah termasuk aktiviti rasuah dalam perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa mengalihkan bantuan dan pakej rangsangan, penipuan berkaitan peralatan perubatan dan sebagainya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here