MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyarankan kerajaan menubuhkan Lembaga Unggas Negara, selain usaha berterusan memperkasa NAFAS dalam menangani segera isu kekurangan atau kos bekalan ayam serta makanan ketika ini.
Pengerusinya, Abdul Halim Husin berkata krisis itu membuktikan Lembaga Unggas Negara perlu ditubuhkan untuk mengimbangi keperluan pengguna dan pengusaha atau pengeluar ayam dan telur dengan lebih adil.
Menurutnya, lembaga itu boleh memastikan semua pemegang taruh khususnya pengusaha penternak ayam dan telur berskala kecil, kebanyakan terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera dilayan sama adil dan tidak dipinggirkan.
“Malah Lembaga ini boleh memastikan harga ayam yang sepatutnya tanpa meletakkan harga siling apabila ia dapat mengimbangi jumlah bilangan ayam import, bilangan keluaran berskala kecil dan bilangan keluaran berskala besar.
“Ini akan memastikan industri dapat bertahan dan rakyat tidak tertekan dengan permainan nakal orang tengah. Pasaran tidak lagi kawal oleh kartel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Halim turut menggariskan tujuh elemen penting yang patut kerajaan beri perhatian bagi mengatasi masalah tersebut.
Pada masa sama katanya, MTEM menyarankan kerajaan memansuhkan semua Permit Import (AP) selepas krisis berakhir, hanya GLC seperti NAFAS diberi permit tunggal dan diberi mandat untuk menerajui pelabagai inisiatif termasuk melakukan pelaburan strategik, dimana ia juga akan dikawal oleh Lembaga Unggas yang baru.
“Kita berharap ketetapan Kabinet Dauk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan perincian yang halus dengan objektif yang jelas serta penambahbaikan yang kami cadangkan boleh dilaksanakan dan menunjukkan hasil dengan kadar segera.
“Jika tidak, bekalan ayam dan makanan bukan sahaja berkurang tapi akan menjadi mahal setelah pengeluar tempatan tidak lagi mampu mengeluarkan hasil yang rakyat perlukan dan kita pula terlalu bergantung pada import ketika itu,” katanya. – Malaysiapost

