Bekas menantu tarik balik saman, Chef Wan akui sudah maafkan namun enggan jumpa

0
2

CEF selebriti terkenal, Datuk Chef Wan mendedahkan bekas menantunya, Shikin Maembong ingin bertemu dengannya bagi menjernihkan keadaan serta menarik balik tuntutan saman yang dilakukan terhadap dirinya sebelum ini.

Perkara itu dikongsikan Chef Wan atau nama sebenarnya, Redzuawan Ismail menerusi Instagram miliknya. 

Katanya, niat Shikin itu disampaikan anaknya, Serina baru-baru ini.

“Serina mesej pagi tadi (22 Mei) untuk beritahu, Shikin bekas menantu saya nak jumpa bagi menjelaskan keadaan dan tarik saman.

“Dia tanya, boleh kita jumpa tengah hari ini dengan anak-anak, Pa? Saya cakap tidak mengapa, saya sudah maafkan Shikin dan berharap dia juga sama,” katanya.

Bagaimanapun, Chef Wan berkata, dia menolak pertemuan itu dan mengakui serik dengan hal berkaitan anak-anak termasuk bekas menantu.

“Saya tak mahu berjumpa dengannya atau mendengar semua drama anak-anak dan bekas menantu. Saya minta maaf terpaksa menolak.

“Boleh tak kita teruskan saja kehidupan? Saya tak boleh lagi tangani apa saja isu membabitkan anak-anak, bekas menantu serta menantu,” katanya.

Ini kerana, beliau berkata,  kebaikan yang dihulur selama ini seakan tiada erti apabila dirinya pula terpaksa berhadapan aib dan diperlakukan dengan tidak adil bagi sesetengah pihak yang dibantu.

“Apa yang saya selalu dapat semula hanyalah rasa malu yang amat sangat memikul perbuatan masing-masing yang tidak bertanggungjawab.

“Apabila nasihat macam mencurah air di atas daun keladi! Kita pula jadi mangsa kutukan orang yang jenis macam mereka ini juga. Saya sudah muak!

“Tolonglah ada sikit simpati kerana saya pun ada kehidupan. Banyak perkara yang sedang saya kendalikan sekarang dan saya tak seharusnya berdepan tekanan serta perkara mengarut.

“Ramai lagi orang mempergunakan saya dan menyalahgunakan kepercayaan diberi. Tidak mengenang budi, macam melepaskan anjing tersepit,” katanya.

Pada Februari lalu, Shikin yang juga bekas isteri anak sulung Chef Wan, Mohd Nadzri Redzuawan atau Chef Riz mengambil tindakan mengemukakan saman malu terhadapnya dengan tuntutan sebanyak RM1 juta.

Shikin menghantar notis saman malu kepada Chef Wan yang menegurnya secara terbuka gara-gara pertelingkahan dengan Chef Riz berhubung isu penjagaan anak tunggal mereka, Putri Arriana Natasya, 7. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here