SEORANG pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) ditemui mati di dalam bilik asramanya, semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Rodzi Abu Hassan, berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.
“(Setakat ini) kami tidak dapat membuat kesimpulan kematian mangsa akibat renjatan elektrik kerana laporan forensik masih belum selesai,” katanya.
Mangsa, S Vinosiny, 21, yang merupakan seorang pelajar tahun dua perakaunan, ditemui mati di bilik asramanya.
Terdapat klip video dimuat naik di laman YouTube mendakwa mangsa meninggal dunia akibat renjatan elektrik.
Sementara itu, UUM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Vinosiny.
Dalam satu kenyataan UUM berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat daripada Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
“Sebagai tanda prihatin, UUM akan meringankan beban mereka dengan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa,” katanya – Malaysiapost

