MUAFAKAT Nasional (MN) jelas masih bernyawa dan tidak terkubur seperti mana didakwa pelbagai pihak sebelum ini, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata demikian sebagai maklumbalas kepada kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa MN kini dalam fasa ‘nyawa-nyawa ikan’.
“Masih ada nyawa lagilah. Kalau nyawa-nyawa ikan itu kiranya masih bernyawa lagi.
“Tapi bagi kita kenyataan itu panjang dan kita tengok ruang yang diberikan untuk pimpinan duduk berbincang, saya kira ini positif.
“Walaupun dia (Ahmad Zahid) kata tinggal nyawa-nyawa ikan tapi pada awalnya dia sebut kedua-dua pimpinan perlu duduk bincang, saya rasa ini positif walaupun dia sebut nyawa-nyawa ikan pada hujung,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Dewan Seroja, Kem Kementah hari ini.
Tuan Ibrahim diminta mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa kerjasama Umno dan PAS menerusi MN sebagai ‘nyawa-nyawa ikan’.
Jumaat lalu, Ahmad Zahid berkata, soal masa depan MN wajar dibincangkan di peringkat jawatankuasa PAS dan Umno sebelum hasil perbincangan dibawa kepada pimpinan kedua-dua parti untuk diputuskan.
Ahmad Zahid berkata, soal masa depan MN wajar dibincangkan di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti itu.
“Hasil perbincangan itu mungkin dibawa kedua-dua parti untuk kita putuskan,” katanya. – Malaysiapost

