Ujian DNA untuk sahkan identiti seorang lagi pendaki Gunung Suku

0
2

POLIS akan menggunakan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti seorang daripada dua pendaki wanita yang muat selepas dihanyutkan kepala air di Gunung Suku dekat Simpang Pulai, 15 Mei lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kaedah itu digunakan kerana pihaknya masih tidak dapat menemukan padanan cap jari terhadap satu daripada mangsa terbabit iaitu mangsa yang dikenal pasti sebagai See Su Yen, 32, dengan rekod sedia ada.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Forensik Pergigian dari Hospital Kuala Lumpur, semalam mendapati hanya identiti mayat Ng Yee Chew, 46 yang disahkan selepas dikenal pasti melalui padanan rekod rawatan pergigian selain pemadanan ciri fizikal gigi pada mayat.

Katanya, bagaimanapun, laporan perbandingan cap jari bagi anggota tubuh manusia yang disyaki milik See, mendapati kesan cap jari yang ditimbulkan tidak dapat dikesan dalam rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Pihak terbabit akan menghantar semua spesimen DNA manusia yang dikumpulkan oleh Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh sepanjang proses operasi mencari dan menyelamat (SAR), ke Jabatan Kimia.

“Ia adalah untuk analisis DNA bagi tujuan pengesahan identiti mangsa kedua (See),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, sementara, hasil bedah siasat ke atas mayat Ng mendapati punca kematiannya adalah disebabkan multiple injuries due to landslide (pelbagai kecederaan berikutan dari penggelongsoran tanah) dan mayatnya sudah diserahkan kepada waris, petang semalam.

Dalam kejadian 15 Mei lalu, dua pendaki wanita dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 27 individu lain di Gunung Suku.

Kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32 dan Ng Yee Chew, 46. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here