Warga emas dibelasah baru selesai rawatan dialisis

0
2
pukul warga emas

LELAKI warga emas yang dipukul seorang pemuda berdekatan jejantas Padang Jawa di Shah Alam semalam, dalam perjalanan pulang daripada sebuah hospital selepas menjalani rawatan dialisis.

Perkara itu dimaklumkan anak mangsa, Muhammad Azzali Zainoldin menerusi hantaran di media sosial.

Menurut Muhammad Azzali, ketika kejadian bapanya sedang memandu ditemani isteri dan seorang cucu berusia tiga tahun setengah.

Katanya, kejadian berlaku apabila bapanya yang sedang memandu sedia untuk membelok keretanya ke arah kanan untuk naik ke jambatan.

Sejurus kemudian, katanya, tanpa disedari datang sebuah motosikal dengan laju memotong kereta bapanya bukan untuk ke kanan menaiki jambatan, tetapi penunggang itu memotong untuk terus ke Jalan Mat Raji.

“Disebabkan itu, suspek merasa tidak selamat dan terus memaki ayah saya dengan jeritan kuat. Sebagai seorang yang tua dan berumur, ayah saya rasa bersalah dan dia keluar dari kereta untuk melihat apa yang terjadi kerana risau jika ada pelanggaran dan cedera pada suspek.

“Tiada sedikit pun pelanggaran berlaku dan kerana tidak puas hati serta melihat ayah keluar dari kereta ,suspek ‘u turn’ dan kembali ke kereta ayah. Dia terus melulu ke arah ayah dan terajang ayah,” ujarnya dalam hantaran itu.

Beliau berkata, ketika diserang pemuda bermotosikal itu, ayahnya tidak melawan kerana faktor umur dan baru selesai dialisis.

BACA LAGI: Polis tahan lelaki belasah warga emas di tengah jalan

Dalam masa sama, katanya, suspek yang berang terus naik di atas badan bapanya dan tidak henti-henti menumbuk muka dan sambung memijak badan lelaki warga emas itu.

“Ayah tidak melawan kerana dia tiada daya upaya dan sewaktu dipukul ayah sedang melindungi lengan kirinya dan pinggangnya dari tercedera. Ini kerana risau ‘tapak’ dialisisnya pecah atau putus.

“Emak dan anak saudara berusia tiga tahun setengah yang berada di dalam kereta hanya mampu melihat seorang suami dan atuknya dipukul,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Azzali berkata selepas kedua-dua mereka selesai membuat laporan polis, bapanya dibawa ke Hospital Shah Alam, namun dibenarkan pulang kira-kira jam 10.30 malam tadi.

“Badannya masih lemah dan dia mengadu masih sakit di rusuk kiri,” katanya.

Semalam, tular di media sosial rakaman seorang lelaki memukul seorang warga emas sehingga terbaring di atas jalan.

Menerusi video berdurasi 21 saat itu, memaparkan lelaki terbabit yang memakai topi keledar sedang menumbuk berkali-kali di muka warga emas itu.

Suspek berusia 23 tahun tersebut ditahan polis lewat petang semalam bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here