PARTIi Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menubuhkan Majlis Negarawan Berjasa sebagai saluran menggabungkan sumbangan idea, tenaga dan buah fikiran dalam usaha membantu rakyat dan negara bangkit daripada kesan Covid-19.
Presidennya, Zamani Ibrahim berkata majlis itu dipengerusikan Naib Presidennya, Abdul Aziz Sardan dan dianggotai 10 tokoh daripada pelbagai latar belakang mencakupi bidang.

Antaranya bidang pendidikan, ekonomi, rakyat, dasar luar negara, sosial, alam sekitar, pertahanan, sekuriti makan, teknologi dan data sains.
“Majlis Negarawan Berjasa bakal menyediakan pasukan profesional berpengalaman dan berkepakaran tinggi untuk parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kita himpunkan cerdik pandai dan kepakaran. Walapupun tidak terbabit dalam politik tetapi mungkin ada idea bernas boleh bawa untuk diperhalusi, disusun atur untuk rakyat dan negara.
“Mereka sangat banyak pengalaman, jangan kita pinggirkan mereka kita perlu idea mereka bersama pemimpin,” katanya pada majlis Aidilfitri Parti Berjasa semalam.
Menurut Zamani, Berjasa yakin majlis itu bakal memberi nafas baharu dalam menampilkan solusi terhadap isu-isu besar negara, seterusnya membantu parti mengetengahkan dasar-dasar berwibawa dan mampan untuk rakyat.
“Majlis ini juga menjadi semak dan imbang kepada dasar-dasar dan keputusan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Zamani menjelaskan, partinya menerima permohonan pendaftaran kemasukan ahli baharu yang cukup memberangsangkan dalam tempoh beberapa bulan ini.

Menurutnya, sebilangan besar keahlian diterima merupakan barisan tokoh berpengaruh terdiri kalangan ahli akademik, bekas ketua-ketua pengarah jabatan kerajaan dan aktivis politik.
“Ini tanda sokongan amat jitu terhadap agenda perjuangan besar parti selaras identiti Berjasa iaitu kepimpinan baharu bercita-cita untuk membangunkan Malaysia sebagai negara unggul dan bermaruah.
“Berjasa yakin ramai tokoh besar yang menyertai perjuangan ini adalah mereka yang ikhlas tanpa mengharapkan imbuhan bagi membantu merealisasikan wajah baharu dalam lanskap politik,” katanya. -Malaysiapost

