PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan kerja rasmi Jepun mulai hari ini hingga 28 Mei.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Ismail Sabri dijadual bertemu dengan rakan sejawatannya di Jepun, Fumio Kishida.
Ia pertemuan bersemuka pertama kedua-dua pemimpin sejak Ismail Sabri menyandang jawatan Perdana Menteri pada tahun 2021.
“Pertemuan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak membincangkan inisiatif dalam memperkukuh hubungan Malaysia-Jepun yang lama terjalin serta kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Antara perkara utama yang akan dibincangkan termasuk memperingati Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT), pengukuhan hubungan antara rakyat dan kerjasama pasca Covid-19.
“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan ketenteraman antarabangsa dan kestabilan serantau,” menurut kenyataan itu hari ini.
Lawatan Perdana Menteri ke Jepun diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Turut mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Utusan Khas Perdana Menteri ke Asia Timur, Richard Riot Anak Jaem; Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Sementara itu, Wisma Putra berkata Malaysia dan Jepun akan memuktamadkan Memorandum Kerjasama dalam tiga bidang melibatkan industri pesawat, pekerja mahir serta belia dan sukan.
Menurutnya, Perdana Menteri dijadualkan akan bertemu dengan wakil-wakil komuniti perniagaan di Tokyo, selain turut meraikan Sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia bersama diaspora rakyat Malaysia di Jepun.
“Perdana Menteri juga akan menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di atas jemputan daripada Nikkei Inc. Persidangan ini merupakan perhimpunan tahunan pemimpin-pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik. YAB Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dengan tema “Redefining Asia’s role in a divided world”.
“Penyertaan Perdana Menteri di Persidangan Nikkei ke-27 ini akan menjadi platfom untuk Malaysia berkongsi idea serta melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif yang bertujuan mengembangkan kerjasama ekonomi yang lebih erat antara negara di rantau ini,” kata kenyataan itu.
Dalam masa sama, lawatan tersebut mencerminkan kepentingan hubungan dua hala Malaysia – Jepun, selaras dengan sambutan memperingati ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik dan ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) yang disambut pada tahun ini.
Tambahnya, pada tahun lalu, Jepun merupakan rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM149 bilion (USD36 bilion).
“Sehingga 2021, Jepun adalah pelabur asing ke-3 terbesar di Malaysia dalam sektor pembuatan bagi projek-projek yang dilaksanakan berjumlah RM90.9 bilion (USD27.6 bilion),” katanya. – Malaysiapost

