Sukan SEA Hanoi: Kenapa sasaran emas terlalu rendah? – Najib

0
2

TEMASYA Sukan SEA ke-31 Hanoi yang sudah melabuhkan tirainya hari ini menyaksikan kontinjen negara menduduki tangga keenam bagi keseluruhan pungutan pingat, iaitu kedudukan paling rendah dalam sejarah.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mempersoalkan kenapa sasaran pingat emas negara diletakkan terlalu rendah dalam kejohanan sukan itu kali ini.

Menurutnya, kedudukan tempat keenam itu menjadikan Malaysia berkedudukan di belakang negara jiran Singapura yang sebelum ini tidak pernah berlaku.

“Sukan SEA tahun 2021/2022 sudah berakhir. Syabas dan tahniah kepada semua atlet dan staff negara yang mengambil bahagian. Namun saya ada beberapa perhatian yang saya ingin kongsi.

“Ini kali pertama negara duduk di tangga keenam antara semua negara – iaitu kedudukan paling rendah dalam sejarah.

“Rasanya kita tidak pernah kalah pada negara Singapura dalam mana-mana Sukan Sea melainkan Singapura menjadi tuan rumah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata jumlah 39 pingat emas yang diraih kali ini adalah paling rendah sejak tahun 1995 di mana Malaysia mengutip 31 emas tetapi duduk di tangga keempat.

“Memandangkan Malaysia mengutip 56 emas pada tahun 2019 (tangga kelima), 145 emas tahun 2017 (pertama) dan 62 emas tahun 2015 (keempat), kenapa pula sasaran kami bagi sukan SEA tahun ini cuma 36 pingat emas?

“Kenapa rendah sangat?” soalnya.

Secara keseluruhan Malaysia mengumpul 174 pingat membabitkan 39 pingat emas, 45 pingat perak dan 90 pingat gangsa, menyaksikan kontinjen Malaysia berada di kedudukan keenam carta pungutan pingat.

Tuan rumah Vietnam unggul dengan 205 pingat emas dan keseluruhan 446 pingat, diikuti Thailand di tempat kedua dengan 92 pingat emas dan keseluruhan 331 pingat, manakala Indonesia ketiga dengan 69 pingat emas dan keseluruhan 241 pingat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here