DI mana ada gula, di situ ada semut akan menghurung. Itulah perumpamaan yang dapat digambarkan kepada satu hantaran di Twitter mengenai nasib gadis cantik yang ingin mencari jodohnya.
Hantaran yang diciapkan oleh seorang wanita dikenali sebagai Faye itu adalah untuk mencari jodoh kepada seorang teman baiknya.
Hantaran itu mendapat perhatian para jejaka di laman Twitter yang masing-masing mencuba nasib untuk melamar gadis cantik itu.
Menariknya, hantaran itu telah mendapat 3,264 ulang ciap, 1,717 ciap dan 10,100 tanda suka sejak ia dimuat naik petang semalam.
“Assalamualaikum! Kawan baik saya sedang mencari seseorang yang serius (menamatkan zaman bujang). Jika Allah izinkan, tahun ini.
“Tetapi jika tidak, tahun depan pun okay. Jika berminat sila isi borang di link ini,” ciap Faye.
Dalam hantaran itu, Faye turut memuat naik beberapa keping gambar gadis berkenaan.

Turut dimuat naik ialah ciri-ciri dan keistimewaan gadis cantik itu termasuk pandai bermain gitar dan menyanyi.
Setakat ini belum ada keputusan muktamad siapakah jejaka yang bertuah dapat memenangi hati gadis yang memiliki kerjaya di ibu negara itu dan turut mahir berbahasa Perancis.
Peluang masih terbuka kepada jejaka bujang di luar sana untuk mencuba nasib. Siapa tahu, untung sabut timbul. Cubalah!.
Sementara itu, Malaysiapost mendapati trend mencari jodoh secara atas talian dengan menggunakan aplikasi media sosial kini dilihat semakin popular dengan ramai yang ‘mengiklankan’ diri untuk mencari pasangan.
Antara ruangan mencari jodoh yang mendapat sambutan hangat adalah laman Twitter TwtJodoh yang mempunyai pengikut seramai lebih 77,000 pengikut setakat ini.
Semakan di laman media sosial berkenaan mendapati kebanyakan ciapan mencari jodoh dibuat sama ada oleh rakan atau ahli keluarga pencari jodoh.
Terdapat juga pemilik akaun Twitter sendiri yang membuat ciapan mencari pasangan hati dengan menyenaraikan ciri-ciri yang mereka idamkan. – Malaysiapost

