SEBANYAK lapan cabang akan melaksanakan pengundian semula dalam pemilihan PKR 2022 susulan berlaku masalah teknikal ketika proses pengundian dijalankan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa, berkata pengundian semula secara fizikal perlu disempurnakan sebelum keputusan boleh diumumkan.
“Lima cabang di Kelantan termasuk Ketereh, Bachok dan Tumpat serta Dungun di Terengganu perlu menjalani pemilihan semula ekoran masalah teknikal,” katanya dipetik Malaysiakini.
Dr Zaliha menjelaskan, masalah teknikal yang berlaku di Kelantan dan Terengganu pada hari pertama pemilihan di peringkat cabang berkenaan menjadi punca lapan Cabang PKR berkenaan terpaksa dilaksanakan semula.
Manakala di Kedah, Dr Zaliha berkata, JPP akan mengadakan pemilihan semula di cabang Padang Serai kerana berlaku rasa tidak puas hati di kalangan calon yang bertanding.
Mengenai insiden di cabang Hulu Selangor pula, Dr Zaliha menafikan berlakunya sabotaj sebagaimana dakwaan sesetengah pihak apabila dewan yang dijadikan pusat mengundi tidak menyediakan kerusi atau meja sehingga proses pengundian terpaksa dibatalkan.
Meskipun meja dan kerusi tiba pada pukul 9 pagi, namun JPP memutuskan untuk membatalkan proses pengundian itu
Dr Zaliha berkata, proses pengundian semula belum ditetapkan tarikhnya tetapi sebaik-baiknya dilakukan serentak pada hari sama di semua lapan cabang berkenaan. – Malaysiapost

