Nilai ringgit susut, bukti dunia hilang keyakinan kepada Malaysia – Anwar

0
2

PENYUSUTAN nilai ringgit berterusan menunjukkan dunia sudah hilang keyakinan terhadap Malaysia, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, langkah penyelesaian jangka pendek dan pemulihan segera yang dilakukan kerajaan masih tidak mencukupi.

“Kita memerlukan kepimpinan yang pertamanya boleh memulihkan keyakinan rakyat sebelum kita boleh mengimpikan untuk memulih keyakinan pihak luar dan seterusnya pelaburan.

“Pelan yang sesuai untuk pemulihan yang betul memerlukan pemikiran yang kompleks dan penghargaan terhadap kerumitan ekonomi kontemporari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson yang juga bekas Menteri Kewangan itu berkata, beliau turut menggesa kerajaan memberi penyelesaian jangka panjang kepada rakyat yang mampu menginspirasikan keyakinan yang diperlukan semua.

“Bekerja untuk rakyat menjadi perkara terpenting bagi membawa negara ini kembali dan anda, rakyat, layak mendapat ganjaran setimpal bagi penat lelah bekerja,” katanya.

Menurutnya, situasi ketika ini menyaksikan kita terperangkap dalam kitaran dimana kita bekerja keras namun pendapatan semakin berkurangan manakala harga barangan keperluan semakin meningkat.

“Walaupun pelbagai perkara menjadi punca termasuk keadaan ekonomi global dan negara masih dalam pemulihan dari pandemik serta perang Rusia-Ukraine, keadaan di Malaysia masih suram.

“Manakala negara lain sudah kelihatan kembali normal, namun situasi di Malaysia masih banyak yang perlu ditangani,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here