SEORANG lelaki ditahan kerana dipercayai merogol anak saudara perempuannya berusia 15 tahun yang menumpang di rumahnya di Bandar Mutiara, Sungai Petani, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata mangsa yang tinggal bersama neneknya ditumpangkan sementara di rumah suspek selama dua hari kerana neneknya pulang sementara ke kampung di Pendang.
Menurutnya, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa dikatakan sedang tidur bersama ibu saudara dan dua sepupunya berusia lapan dan tujuh tahun di dalam bilik tidur hadapan rumah terbabit.
Katanya, berdasarkan laporan mangsa mendakwa suspek masuk ke bilik tidur sebelum meraba tubuh serta merogolnya.
“Mangsa cuba melawan namun tidak berdaya, malah remaja perempuan itu juga mendakwa dia tidak berani menjerit disebabkan terlalu takut.
“Mangsa kemudian dibawa menjalani pemeriksaan di hospital dan menemukan kesan tusukan benda tumpul selain koyakan baharu pada kemaluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaidy berkata, anggota forensik turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya – Malaysiapost

